07 August, 2007

Doa Sewaktu Bersujud dan Keistimewaannya

Sewaktu bersujud kita berada amat hampir dengan Allah SWT. Katakanlah apa sahaja hajat di dalam hati sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang biasa memanjangkan sujudnya dengan memperbanyakkan zikir dan doa di dalamnya.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,"Suasana yang paling hampir antara seseorang hamba dengan TuhanNya ialah di kala ia bersujud kerana itu hendaklah kamu memperbanyakkan doa di dalamnya."



Banyak doa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW untuk diikuti. Satu daripada yang paling baik untuk diamalkan ialah doa yang dibaca sewaktu sujud akhir dalam solat iaitu,


"Ya Allah, tambahkanlah bagiku rezeki yang banyak lagi halal, imam yang benar, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang elok, kecerdikan yang tinggi, hati yang bersih dan kejayaan yang besar."


Semoga dengan mengamalkan doa itu kita dapat manfaat atau sekurang-kurangnya menjadi cita-cita kita dalam mencari keredhaan Allah dunia dan akhirat. Banyak kelebihan memanjangkan sujud dan memperbanyakkan doa di dalamnya. Rasulullah SAW biasa berbuat begitu sehingga pernah para sahabat hairan kerana lamanya Baginda bersujud.


Keistimewaan umatnya yang bersujud telah disebutkan oleh Baginda dalam sabdanya yang bermaksud :

"Tiadalah ada seorang umatku melainkan aku yang akan mengenalinya di hari kiamat.

Mendengar itu para sahabat bertanya :

Bagaimanakah engkau dapat mengenali mereka dalam khlayak ramai wahai Rasulullah?"

Jawab Baginda :

"Tidakkah engkau melihat seandainya sekumpulan unta dimasuki oleh seekor kuda yang amat hitam, sedangkan di dalamnya pula terdapat seekor kuda putih bersih, maka adakah engkau tidak dapat mengenalinya?"

Sahabat menjawab :

"Bahkan!"

Rasulullah menyambung :

"Kerana sesungguhnya pada hari itu (kiamat) muka umatku akan putih (berseri-seri) disebabkan mereka bersujud (di dunia), segala anggota mereka (terutamanya anggota wudhuk) putih berseri-seri oleh cahaya wudhuk!!


Ahli neraka juga mendapat keselamatan kerana bekas sujudnya. Rasulullah bersabda yang bermaksud :

"Apabila Allah hendak melimpahkan rahmat (kebaikan) kepada ahli-ahli neraka yang Dia kehendaki, Dia pun memerintahkan malaikat supaya mengeluarkan orang-orang yang menyembah Allah, lalu mereka dikeluarkan dan mereka dikenali dengan kesan-kesan sujud (di dahi mereka), di mana Allah menegah mereka pun keluar dari neraka, maka setiap tubuh anak Adam akan dimakan api neraka selain bekas sujud."


Begitulah Allah memuliakan hambaNya yang bersujud. Orang yang bersujud mendapat keistimewaanya apatah lagi di dalam sujud kita berdoa. Sudah tentu mendapat perhatian yang sewajarnya. Semoga kita akan menjadi hamba yang benar-benar mendapat rahmat.

06 August, 2007

My heart

Wahai hati ku,
cintailah yang lebih mencintai mu,
cintailah Dia yang tidak akan pernah melukai mu.

Wahai hati ku,
sedarkah dikau siapa yang menciptakan mu?
yang mula-mula mencambahkan cinta di dalam mu?
Dialah Pemilik dan Pencipta segala cinta.
Maka mengapa kau masih mahu mencintai yang lain
lebih daripada kau mencintai Nya?

Wahai hati ku,
bermujahadahlah,
kembalilah kepada fitrah mu yang suci,
agar hidup ku kan lebih bererti.
Dan semoga kelak kita akan diseru
"Wahai jiwa yang tenang!
Kembalilah kepada Tuhan mudengan hati yang redha dan diredhaiNya.
Maka masuklah ke dalam kalangan hamba-hambaKu
dan masuklah ke dalam syurga Ku
"Alangkah!

p/s: andai hati bisa dipujuk...

" (terjemahan surah Al-Fajr, ayat 27-30)"
~thanx syaz..coz bg ana kata2 ni~