07 March, 2007

Beberapa suap makanan

Maksud hadis;

"Daripada Al-Miqdam bin Ma'dikarib ia berkata aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : tidak mengisi perut anak Adam akan bahaya bencana sekira-kira memadai dengan beberapa suap yang kecil yang boleh mendirikan tulang salibnya, maka jika terpaksa maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga untuk nafasnya".

(Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi, Nisa'i dan Ibn majah-Hadis Hasan)

Mengisi perut bererti makan minum daripada berbagai-bagai benda mengikut tempoh suasana dan kebiasaan masing-masing dan makanan yang boleh menguatkan badan, seperti mana di dalam hadis (mendirikan tulang salibnya) iaitu boleh berdiri bertenaga, berjalan, bergerak dan sebagainya.

Beberapa suapan yang kecil bererti makan tidak banyak yang tidak mengakibatkan seseorang itu keterlaluan mengisi perut tanpa perhitungan yang wajar dan sesuai dengan kehendak kesihatan. Demikian pula makan yang sedikit yang tidak membawa kepada kelemahan tubuh badan.

Makanan yang beberapa suap yang sedikit yang tidak mengurangkan tenaga itu tidaklah mendatangkan bahaya kepada perut dan seluruhnya kerana bahaya yang selalu merosakkan kesihatan badan ialah dari keterlaluan banyak makan sebagaimana yang ternyata jelas pada hari ini didapati beberapa penyakit yang berlaku yang dinamakan "penyakit orang kaya", "penyakit orang senang", "sedap makan sedap selera", "makanan semua berzat". Maka timbullah penyakit gemuk ataupun obesiti yang mengakibatkan berbagai-bagai penyakit yang lain.

Oleh sebab tabiat hidup kita yang mesti makan, Rasulullah mengingatkan supaya jangan lupa mengisi perut dengan baik iaitu sepertiga perut itu diisi dengan makanan, sepertiga dengan air dan sepertiga lagi dikosongkan untuk bernafas tetapi seringkali kita tidak ikut apa yang Rasulullah sarankan. Oleh sebab itu, kita pun mengisi kesemuanya dengan makanan. Itulah menyebabkan sampai tidak boleh bernafas dan mendatangkan sakit.

Tepat seperti kata seorang Doktor Arab, Al-Haris bin Kalwah;

"Penting berjaga-jaga itu kepala ubat, perut besar makan banyak itu kepala penyakit".

Dalam hal menjaga kesederhanaan makanan, Rasulullah banyak mengingatkan sahabat-sahabatnya sampai berjaga-jaga seperti di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Junjungan telah bersabda yang bermaksud;

"Orang mukmin makan satu perut, orang kafir makan tujuh perut, yang bermaksud orang-orang mukmin makan mengikut adab syarak ialah sepinggan yang sederhana tidak seperti orang kafir makan sampai tujuh pinggan mengikut kehendak nafsu selera".

Junjungan mulia mengarahkan supaya orang-orang mukmin sentiasa berada dalam sihat dan cergas. Maka di antara faktor besar mencapai tujuan itu hendaklah menjaga makanan dan hendaklah selalu mengawal diri dan kehendak nafsu perut yang melampau-lampau. Baginda mengingatkan supaya selalulah mengingatkan diri bahawa makanan yang disediakan untuk seorang itu adalah mencukupi untuk dua seperti sabdanya yang membawa maksud;

"Makanan seorang cukup untuk dua, dua cukup untuk tiga dan tiga cukup untuk makan berempat".

Ingatan ini adalah bertujuan kepada kesederhanaan dan menjauhkan diri daripada penyakit perut besar. Ia adalah juga supaya dapat menimbulkan jiwa mulia, pemurah dengan menjauhkan sifat tamak dan mementingkan diri sendiri serta melatih diri supaya berjimat dan tidak membazir.

Rasulullah SAW bersama-sama sahabatnya telah mengamalkan sedikit makan dan minum setakat cukup yang tidak melemahkan untuk menunaikan tugas dan kewajipan. Dalam hal ini memang banyak para cendiakawan dan pakar-pakar kesihatan bersetuju dan diantaranya telah membuat beberapa nasihat seperti;

"Faedah makan sedikit kepada hati ialah membawa kepada perasaan halus, kuat fahaman dan lemah nafsu serta kurang marah, banyak makan membawa kepada sebaliknya".

Kesimpulannya, kita wajib memelihara kesihatan badan dan hati supaya dapat menunaikan tugas dengan baik dan sempurna. Perut ialah punca kesihatan dan kesakitan.Sesiapa yang mengawasi dengan baik dan tidak diisi mengikut nafsunya akan terselamatlah daripada penyakit manakala sebaliknya diisi tanpa perhitungan maka jadilah perut sumber penyakit yang menyebabkan sakit tubuh badan dan rosak hati dan perasaan. Makan banyak bukan sahaja menyebabkan pelbagai penyakit fizikal malah juga rohani. Makin banyak kita makan, makin malas kita hendak beribadat kepada Allah.

Oleh itu, orang-orang Islam hendaklah sentiasa berjaga-jaga dengan makanan mereka. Memadailah makan sekadar yang cukup yang boleh menguatkan tenaga bekerja dan tidak melemahkan badan. Jangan melampau sehingga menyebabkan kesusahan kepada tubuh badan. Makanlah dengan sederhana kerana Allah suka manusia yang bersikap sederhana.Jangan dituruti kehendak nafsu kerana nafsu yang diikuti itu umpama bertuhankan nafsu.Bak kata orang, perut lapar diisi dengan makanan, jiwa lapar diisi dengan santapan rohani. Sama-samalah kita beramal dengan perkara yang mudah ini sepertimana yang disarankan oleh Rasulullah SAW kerana setiap perkara yang disarankan oleh Rasulullah itu ada kebaikannya.

Sepotong hadis ada menyebut;

"Tidak sempurna iman seseorang itu jika dia tidur dalam kekenyangan, sedangkan jiran tetangganya menangis kerana kelaparan".

Jadilah umat yang sentiasa bersyukur dengan setiap rezeki yang dimiliki kerana kita sendiri tidak tahu bila mana Allah akan tarik segala pinjaman yang diberi sepertimana insan-insan yang kebuluran di luar sana..

0 comments:

Post a Comment