Bismillahirrahmanirrahim..
Pertamanya, selawat dan salam kepada baginda Nabi Muhammad SAW, junjungan besar kita fil awwalin wal akhirin. Tak lupa buat Ramadhan Al-Mubarak yang kita lalui hampir 19 hari..masih lagi berbaki fasa yang terakhir. Moga masih ada kesempatan merasai fasa yang terakhir di mana terkandungnya Malam Lailatul Qadar (malam yang lebih baik daripada seribu bulan) juga tidak ku lupakan sahabat handai dan pelawat blog ini.
Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh maknaAgar dapat ku lalui dengan sempurna
Alhamdulillah..kini kita di fasa kedua ramadhan dimana fasa maghfirah (keampunan) dan rasanya masih belum lewat lagi untuk mengucapkan selamat berpuasa buat semua muslimin dan muslimat. Syukur ku panjatkan kerana Ramadan kali ini aku masih berpeluang merasainya. Sungguh, aku takut seandainya tiada lagi ramadan buatku..
Di fasa kedua ini, marilah kita sama-sama mempertingkatkan amalan-amalan soleh yang berlipat ganda. Bukan mudah untuk kita dapat bulan mulia sebegini. Setahun hanya sekali. Pulak tu 30 hari je. Jadi, janganlah kita sia-siakan bulan mulia penuh barakah ini. Mumkin disinilah bermulanya perubahan dalam diri kita untuk lebih mendekati Dia yang Maha Esa. Jadikanlah bulan ramadhan ini sebagai wadah untuk kita istiqamah pada bulan – bulan akan datang.
Disini ingin saya kongsikan amalan – amalan yang boleh diamalkan sepanjang bulan Ramadhan.
1)Membaca Al-Quran/Tadarus
Al-Quran, jadikan ia sebagai teman rapat kita. Sememangnya kita mempunyai banyak taklifat yang perlu diselesaikan tapi bijaklah mengatur waktu dan mengambil kesempatan untuk bertadarrus bersama teman – teman ataupun membacanya seorang diri. Jangan lupa untuk mentadabbur Al-Quran!
2) Berzikir
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, Astaghfirullah.. basahkan bibir kita dengan kalimah – kalimah ini yang menambahkan lagi mahabbah kita kepada Allah. Moga sentiasa menjadi amalan kita!
3) Melambatkan sahur
Ini bukan saya suruh tapi sememangnya merupakan sunnah. Sahur itu sekiranya tidak mampu untuk makan makanan berat, cukuplah sekadar segelas air masak atau susu bersama kurma sebagai pengalas perut. Hindarkan perut kosong sewaktu berpuasa. Utamakan kesihatan untuk kemantapan ibadah kita!
4) Mempercepatkan berbuka
Ramai dari kita banyak membazir sewaktu berbuka puasa. Hindarkan perkara – perkara sebegini. Masuk sahaja azan, cepatkanlah berbuka. Kurma elok dijadikan manisan mulut sebagai muqadimah berbuka. Hindarkan makan berlebihan dan mengikut nafsu. Benda halal pun boleh jadi haram tau!
5) Sedekah
Perbanyakkanlah sedekah kita di bulan Ramadhan kerana Allah melipat gandakan amalan kita serta meninggikan darjat kita. Di bulan puasa ini kita sebenarnya berkongsi rasa dengan orang – orang yang serba kekurangan, yang susah untuk mendapatkan makanan dan sebagainya. Moleklah kiranya andai kita dapat berkongsi rasa itu serta memperbanyakkan sedekah walaupun hanya seposen dua.
6) Terawih
Teringat kisah di mana para sahabat mahu mengetahui apa yang dilakukan Rasulullah sewaktu bulan Ramadhan. Para sahabat berlumba- lumba untuk mengikuti apa yang dilakukan Rasulullah iaitu solat terawih. Kalau sahabat sendiri berlumba untuk melakukan seperti yang dilakukan Rasulullah, bagaimanakah kita? Cukuplah dengan 8 rakaat andai tidak mampu untuk melakukan 20 rakaat. Tepuk dada, tanya iman!
7) Iftor jama’ie
Iftor jama’ie menjadi suatu adat kebiasaan bagi kita. Kemana sahaja iftar diadakan tidak kiralah di masjid, rumah, kampus dan sebagainya. Hikmah di sebalik iftor jama’ie ini mengeratkan ukhwah kita sesama muslim disamping kita dapat berkongsi makanan bersama. Oh! Indahnya Ramadhan!
8) Perbanyakkan amalan-amalan sunat
Jika buat, dapat pahala. Jika taknak buat, tak dapat dosa. Mudahkan! Andai Allah berikan kita pahala terus di depan kita, pasti kita berebut dan berlumba – lumba untuk mendapatkannya. Tetapi kenapakah Allah tidak melakukan sebegitu rupa? Fikir – fikirkanlah!
9) Qiamullail
Teringat sewaktu belajar di sekolah dulu sehinggakan berfikir kenapalah mudahnya kita melakukan terawih sedangkan qiamullail yang lebih sikit rakaatnya pun kita tidak mampu. Andai terawih kita mampu melaksanakan 20 rakaat, kenapa tidak tahajud, taubat, hajat dan witir kita laksanakan? Moga qiamullail menjadi malam ’berdating’ kita dengan Allah tanpa gangguan manusia yang enak dibuai mimpi - mimpi indah
10) Solat dhuha
Jadikan solat dhuha sebagai rutin harian kita di mana murahnya rezeki kita bergantung kepada solat dhuha. Amalkan ia supaya rezeki kita tidak disekat atau terhijab. Wallahualam
11) Mathurat 2x sehari
Amalan yang dikumpulkan oleh Sheikh Imam Hassan Al- Banna ini sangat bermanfaat kerana ia bukan sahaja sebagai pelindung diri malahan zikir – zikir ini sebagai doa untuk kehidupan kita.
12) Saling bermaafan
Hindarkan perselisihan faham, pergaduhan, bersangka buruk kita sesama muslim. Pohonlah kemaafan andai ada kesilapan pernah dilakukan. Takutilah andai doa kita terhijab!
13) Menambah ilmu pengetahuan (duniawi & ukhrawi) dan sebagainya
Ambillah masa yang ada dengan membaca perkara - perkara yang boleh meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah. Membaca pun juga dikira sebagai ibadah. Orang yang mengaku dirinya daie tetapi tidak mengambil masa untuk mempertingkatan ilmu, jahillah dia.
Dan tidak lupa amalan-amalan yang perlu dihindarkan
1) Mengumpat
Seandainya umpatan merupakan makanan kepada hati kita, maka hindarkanlah. Jadikan Ramadhan ini sebagai titik tolak perubahan kita untuk menjadi lebih baik daripada Ramadhan sebelum ini.
2) Suuzhon (bersangka buruk pada orang lain)
Tidak dinafikan terkadang kita bersangka buruk pada orang lain berdasarkan apa yang kita lihat. Sempadan Ramadhan ini kita jadikan sebagai medan tarbiyyah untuk berhusnuzhon dengan orang lain. Husnuzhon kan amalan mulia
3) Puasa sekadar lapar dan dahaga
Bukankah puasa sekadar lapar dan dahaga itu sebagai suatu yang rugi? Hanya mengikut adat sahaja, kita bersahur, dia pun bersahur. Kita berbuka, dia pun berbuka. Tapi sejauh mana amalan yang dilakukan? Adakah sekadar lapar dan dahaga? Inikan bulan penuh barakah dan maghfirah. Ambil kesempatan Ramadhan yang berbaki ini untuk mempertingkatkan lagi amal ibadah kita!
4) Maksiat
Hati ini tidak dimasuki cahaya andai ada titik – titik kemaksiatan. Apabila titik noda ini berkumpul, maka terhijablah hati kita untuk menerima ilmu. Begitulah bulan Ramadhan. Seandainya tiada perubahan dalam bulan mulia ini dan masih lagi meneruskan kemaksiatan, rugilah kita andai kita berjuta – juta memohon keampunan Allah tetapi kemaksiatan itu tidak kita hindarkan. Kita inginkan Allah mengampuni dosa tetapi kita tidak menjaga hubungan kita dengan Allah. Masih lagi ingkar dengan kemaksiatan yang dilakukan.Apa kes?
5) Tidur berpanjangan
Soal penat dan sebagainya sewaktu berpuasa bukanlah suatu alasan untuk kita terus tidur sepanjang masa. Jika orang lain mampu melakukan tugas – tugas berat seperti buruh sewaktu di bulan puasa ini, malulah andai kita ini hanya bekerja di bawah penghawa dingin yang nyaman.
6) Mendengar lagu – lagu yang melalaikan
Ramadhan sebagai medan tarbiyyah untuk meningkatkan amalan kita. Andai telinga dan hati kita setiap hari disajikan dengan lagu – lagu yang melalaikan terutama lagu – lagu cinta, rugilah kita kerana kita masih belum merasai nikmat ’university of tarbiyyah’ sebenar. Kan elok sekiranya ’Love Letters From Allah’ disajikan setiap masa. Allah dah bagi jalan, hanya kita je yang lalai!
7) Perkara – perkara yang makruh dan membatalkan puasa
Hindarkan perkara – perkara yang membatalkan puasa seperti tidur berpanjangan, memasukkan sesuatu ke dalam rongga dan sebagainya. Tidak lupa perkara – perkara yang makruh kerana perkara makruh itu amatlah mendekati kepada yang haram. Inilah cabaran kita menerima tarbiyyah dari Allah di ’university of tarbiyyah’ Tak gitu?
Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja...
Oleh itu, sama- samalah kita mempertingkatkan ibadah kita di bulan mulia ini kerana bulan ini merupakan bulan yang dimakbulkan doa, dihapuskan dosa dan diselamatkan dari azab api neraka.
Ayuh sahabat! Mari kita pasakkan niat, letakkan tekad. Jadikan Ramadhan sebagai medan mengutip mutiara maghfirah dari Allah..sama-sama mujahadah meniti mardhatillah..
Kencangkan tarbiyyah, tingkatkan ibadah!
1 comments:
ahsanti ya ibnati al azizah, marilah kita rebut peluang pahala di saat akhir Ramadhan...
Post a Comment