15 April, 2008

Tanggung jawab melebihi masa yang ada



12 APRIL 2008, Sabtu


Aku telah berkunjung ke Rumah Titian Kasih yang terletak di Titiwangsa, Kuala Lumpur. Tujuan aku ke sana bukanlah sekadar ingin bersuka ria tapi kedatanganku adalah untuk mencurahkan bakti pada insan yang memerlukan. Rumah Titian Kasih itu menempatkan 80 orang termasuk anak – anak yatim dan ibu – ibu tunggal. Ini merupakan kunjungan keduaku bersama seorang sahabat, Shuhada. Pepatah Arab ada mengatakan ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah. Dengan memegang prinsip itu, aku turun padang mengamalkan ilmu yang ada disitu. Jauh di sudut hatiku, aku tidak pernah melihat kedhaifan ilmu sebegini. Aku tidak menyangka masih ada lagi anak – anak yang buta huruf walaupun umur semakin menginjak dewasa. Apatah lagi hukum – hukum Allah.


Kunjunganku yang pertama pada minggu lepas membenihkan bibit – bibit cinta untuk berbakti pada agama dan bangsa. Kami diberikan penerangan akan anak – anak yang tinggal disitu. Sebak apabila mendengar kisah – kisah mereka. Aku bersyukur kerana masih dikurniakan tempat bergantung, tempat di mana aku mendapat kasih sayang, tempat di mana aku memerlukan segala – galanya. Bagi anak – anak yatim disini, mereka juga memerlukan kasih sayang dan keprihatinan ibu bapa mereka tapi apakan daya, Allah itu Maha Penyayang. Allah menurunkan ujian pada hambaNya yang mampu untuk menempuh ujian ini. Berdasarkan firman Allah dalam Surah Al – Baqarah, ayat 286 yang bermaksud, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”. Jika aku seperti mereka, aku juga tidak tahu bagaimana untuk menggambarkannya. Alhamdulillah, syukur ke hadratnya, aku masih lagi mengecapi nikmatNya, merasai erti kasih sayang ibu dan ayah dan mendapat segala keperluan dengan secukupnya.


Aku menghabiskan masaku pada setiap hari sabtu untuk datang mencurahkan ilmu di sini. Aku tidak kisah walaupun Rumah Titian Kasih ini terlalu jauh dari tempatku bermastautin. Cukuplah aku melakukan segala – galanya kerana Allah. Hidup ini bukan hanya untuk belajar dan berseronok sahaja tapi mencari erti kehidupan sebenar. Lihatlah di sekeliling kita masih ada lagi insan yang lebih memerlukan lebih dari kita. Kenapa tidak kita luangkan masa yang ada untuk membantu insan – insan yang memerlukan. Ingatlah kata – kata Hassan al – Banna, tanggung jawab melebihi masa yang ada. Adakah kita sudah menyelesaikan segala tanggung jawab yang ada demi Islam tercinta? Atau sekadar menghabiskan masa yang ada dengan hiburan? Bangunlah wahai syabab, bangunlah wahai fatayat!! Jangan kita terlalu lena dengan duniawi. Ukhrawi sedang menunggu kita.


Berbalik pada Rumah Titian Kasih, aku terlupa untuk menyatakan bahawa rumah ini juga didiami ibu – ibu tunggal yang telah didera oleh suaminya. Jadi disinilah mereka mencari tempat perlindungan. Ibu – ibu tunggal ini telah dibahagikan untuk menjaga anak – anak yatim yang ada. Mereka menganggap anak – anak ini sebagai anak – anak mereka sendiri. Walaupun ada di antara anak – anak yatim ini yang kematian ibunya, mereka sepatutnya bersyukur masih ada ibu – ibu tunggal yang mengambil berat tentang mereka. Teringat aku sewaktu sedang mengajar adik – adik ini, ada salah seorang adik ini yang ditinggalkan ibu manakala ayahnya dihukum dengan hukuman gantung sampai mati. Aku menasihatkan supaya selagi hayat dikandung badan, sentiasalah berdoa pada ibu bapa tidak kiralah sama ada ibu bapa masih ada atau tidak. Tapi nasihat aku ditolak, adik ini tidak suka aku berkata begitu. Setelah diselidiki rupanya adik ini menyatakan walaupun dia berdoa dan sembahyang macam mana sekalipun, ibunya tetap tidak akan datang mengambil dia dari rumah ini. Sedihnya tidak terkira. Sungguh, aku tersangatlah sebak dengan kata – kata itu. Ya Allah, Kau berikanlah petunjuk pada hamba – hambaMu ini. Kau berikanlah kekuatan padaku dalam menghadapi liku – liku hidup ini.


Sewaktu kunjunganku ke sana, team TM NET juga ada membuat program bersama anak – anak yatim. Oleh sebab itu, aku dan sahabat tidak dapat menjalankan tugas dengan sebaiknya. Aku hanya diberi beberapa orang untuk diajar. Alhamdulillah, biarlah walaupun sedikit asalkan ilmu yang dicurahkan itu sampai pada orang lain. Aku dan sahabat menunggu untuk sementara waktu sebelum pulang kerana pengurus Rumah Titian Kasih, Mak Pah meminta kami berdua untuk turut skali dalam program TM. Aku hanya melihat keadaan sekeliling. Au berfikir sejenak di manakah insan – insan yang mengaku dirinya seorang daie? Di manakah insan – insan yang mengaku dirinya seorang pejuang Islam? Mengapa mesti orang – orang yang kekurangan agama ini yang mengendalikan majlis? Mengapa mesti anak – anak yatim ini disogokkan dengan bermacam – macam hiburan? Kenapa dan Mengapa? Aku tinggalkan persoalan ini kepada kalian agar kalian dapat berfikir sejenak adakah kita betul – betul daie yang bertanggung jawab? Sepatutnya anak – anak ini dididik dengan agama, bukan dengan hiburan. Oleh sebab itulah jika kita lihat sekarang kebanyakan orang pandai dalam segala ilmu duniawi tapi terlalu cetek dalam agama yang dianuti. Tidak takutkah kalian jika di akhirat kelak kalian ditanya adakah kalian melakukan amar makruf dan nahi munkar? Adakah kita benar – benar melakukannya? Jangan terlalu berbangga dengan ilmu yang ada lebih daripada orang lain jika kalian masih lagi mementingkan kepentingan sendiri tanpa memikirkan orang lain yang lebih memerlukan.


Hayatilah segala apa yang telah ku katakan walaupun aku tahu diri ini masih banyak kekurangan dan kelemahan. Aku bukan berbangga dengan apa yang telah ku lakukan tapi aku memikirkan tanggung jawab yang perlu dilaksanakan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Aku akhiri celoteh ku yang tidak seberapa ini dengan memetik sepotong ayat dari firman Allah dalam Surah As – Saff ayat 2 dan 3 yang bermaksud “ Wahai orang – orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Itu sangatlah dibenci disisi Allah jika kamu mengatakan apa – apa yang tidak kamu kerjakan”. Fikir – fikirkanlah…


Selasa (15 April 2008); 0823 am


0 comments:

Post a Comment