26 August, 2010

Renungan Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim

Seinfiniti kesyukuran dipanjatkan kepada Rabbul Jalil, Allah S.W.T. atas nikmat yang melimpah ruah sehingga ke hari ini.

Sebelum pena terus menari, ingin saya kongsikan sepotong hadis yang bermaksud;

Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi.

Apa khabar semua? Moga kalian sentiasa berada dalam rahmat Illahi. Bagaimana Ramadhan kalian? Adakah hari ini lebih baik daripada Ramadhan yang lepas? Tepuk dada, tanya iman!

Tulisan ini bukan untuk mencari publisiti, tetapi sekadar memberi ‘extra-vitamin’ untuk rohani. Semoga apa yang ditulis ini ada ganjarannya disisi Allah dan menjadi peringatan kepada kalian dan juga diri ini.


Fasa Rahmah Kepada Maghfirah

Sedar tak sedar, kita sudah masuk ke fasa kedua Ramadhan iaitu Fasa Keampunan selepas berakhirnya Fasa Rahmat. Alhamdulillah, sepatutnya kita merasai bahawa iman kita pada hari ini semakin meningkat jika dibandingkan dengan bulan – bulan yang lepas. Amal ibadah kita juga turut meningkat yang mungkin jauh lebih baik daripada sebelumnya. ʽPerisaiʾ kita sudah cukup ampuh untuk ʽberperangʾ di bulan – bulan seterusnya setelah hampir 15 Ramadhan kita lalui. InsyaAllah, moga Ramadhan ini kita sudah menjadi seperti itu!


Ada Apa Pada Ramadhan

Ramadhan?

Kenapa bulan ini yang ditunggu – tunggu? Ataupun kita hanya sekadar menunggu tibanya RAYA?

Dari fasa pertama lagi, sudah kedengaran di corong – corong radio mahupun di kaca televisyen lagu – lagu aidilfitri. Tidak termasuk lagi dengan pasaraya – pasaraya yang ada, seolah – olah sangat – sangat menunggu kedatangan hari kemenangan (hari raya). Persoalannya disini, sejauh manakah Ramadhan yang ada kita manfaatkan? Kenapa Allah jadikan Ramadhan ini sebulan? Kenapa tidak seminggu? Atau mungkin 3 hari? Kenapa perlu wujudnya 3 fasa di bulan Ramadhan? Adakah kalian terfikir?

Dari lubuk hati ini, saya sedikit terkilan dengan status – status yang mungkin pernah kita sampaikan di facebook. Antaranya,

Lagi 3 jam nak buka..x sabar dah ni..dah lapar!
X bangun sahur arini..penatla..kan best tetiap hari tido je
Letih btoi posa arini!
Kejap lagi nak bukak posa makan banyak2 la..
Dan sebagainya

Astaghfirullah..adakah puasa kita ini sekadar lapar dan dahaga? Jika di sekolah, kita belajar sendiri apa itu Ramadhan, apakah hikmahnya, asbab nuzulnya dan sebagainya. Tetapi hari ini kita seolah – olah menidakkannya. Kita mengeluarkan kata – kata seperti itu. Wajarkah ini terjadi?


Tinggal Dunia, Cari Akhirat

Sahabat – sahabat yang dirahmati Allah,

Ramadhan bukan hanya sekadar lapar dan dahaga. Tetapi puasa kita puasa lidah, puasa perut, puasa hati dan puasa semua anggota. Bulan Ramadhan inilah kita memperbaiki diri kita. Kita jaga mulut kita dari mengumpat, mengeji dan mencela orang lain. Perut kita berpuasa dari melampaui batas sewaktu berbuka puasa. Mata kita juga turut berpuasa dari melihat perkara – perkara yang tidak berfaedah. Sedarkah kalian bahawa bulan yang istimewa ini Allah gandakan pahala kita. Allah bukakan seluas – luasnya pintu Syurga, ditutupkan pintu neraka dan dibelenggu syaitan yang durjana. Kita sedarkan perkara itu? Tetapi kenapa pada hari ini masih ramai manusia turut melakukan maksiat? Kenapa hari ini masih banyak kes – kes pembuangan bayi dikhabarkan di dada akhbar walaupun di bulan puasa? Kenapa bulan yang penuh dengan barakah ini masih sama seperti bulan yang sebelumnya? Mari sama – sama kita muhasabah diri kembali. Ingatlah bahawa syaitan sudah berjaya mendidik hati – hati kita untuk melakukan perkara maksiat walaupun syaitan itu sudah dibelenggu. Astaghfirullahal’azim! Tiada nikmatkah bulan ini bagi kalian untuk memperbaiki diri? Tinggalkan keduniaan yang sementara ini. Carilah akhirat, dunia akan mengikuti kalian!




Wahai ikhwah dan akhawat,

Kalian adalah mutiara – mutiara yang Allah cipta di bumi ini . Marilah sama – sama kita memanfaatkan sepenuh hati kita untuk beribadah kepada Allah. Fikirkanlah andai inilah Ramadhan yang terakhir buat kita, adakah kita sudah bersedia untuk menempah ʽtiket’ ke syurga? Inilah bulan terbaik. Bulan di mana Allah turunkan Al – Quran, bulan di mana wujudnya Perang Badar dan bulan di mana kita merasai kesusahan orang lain termasuk saudara – saudara kita yang berada di Gaza. Bagaimana mereka berpuasa? Prihatinkah kalian mengenai isu mereka? Saya tinggalkan persoalan ini supaya kita dapat sama – sama memperbaiki diri kita sebelum berakhirnya Ramadhan.



Kempen Kurangkan Juadah, Pelihara Lidah, Banyakkan Ibadah

Marilah sama – sama kita manfaatkan bulan barakah ini sebagai university of tarbiyah dalam diri kita. Jika di awal Ramadhan kita sering ke masjid, memperbanyakkan bacaan Al – Quran, qiamullail, berzikir dan sebagainya, tetapi di fasa kedua ini, semuanya hilang entah kemana. Semangat kita hanya sekadar di permulaan. Kenapa ye? Saya harapkan moga giannya kita kepada Al-Quran, qiamullail, berzikir dan sebagainya dapat kita teruskan bukan hanya pada bulan ini tetapi apabila tibanya saat syaitan dibebaskan, kita masih mampu melakukan perkara – perkara tersebut. Semoga hati kita dapat dibersihkan dari segala noda dan dosa yang telah lama bertapak. Carilah keampunan Allah sebanyak – banyaknya dan buatlah persediaan diri sebelum dijemput menghadapNya pada bila – bila masa.

Akhirul kalam, orang yang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak. Selamat berbuka puasa dan selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan. Mari kencangkan tarbiah, tingkatkan ibadah! Rebutlah peluang keemasan ini yang hanya ada di bulan Ramadhan. Indahnya Ramadhan andai Ramadhan ini hidup di dalam hati kita bukan dipengaruhi oleh sekeliling kita. Wallahu’alam.



Corehan hati si kecil,
Durratul Akhyar
25 Ogos 2010, 1730pm





0 comments:

Post a Comment